Selasa, 19 April 2011

Awasi Pemakanan Anak Anda Di Sekolah

Jenis makanan larangan di kantin sekolah dikaji

Oleh Nazura Ngah dan Lum Chee Hong
bhnews@bharian.com.my
2011/04/19


PENIAGA masih menjual makanan ringan di luar kawasan sebuah sekolah di Kuala Lumpur, semalam.

Mesin air minuman berkarbonat juga perlu dilarang

KUALA LUMPUR: Jawatankuasa khas yang ditubuhkan Kementerian Kesihatan dan Kementerian Pelajaran bagi memantau larangan penjualan minuman berkarbonat dan makanan mengandungi gula berlebihan di kantin sekolah akan memperincikan jenis makanan yang boleh dan tidak boleh dijual di kantin sekolah untuk edaran dalam masa terdekat.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai, berkata pihaknya turut memberi jaminan harga makanan berkhasiat disediakan pengusaha kantin dijual pada harga berpatutan.
“Mana-mana pengusaha kantin yang ingkar dengan larangan itu akan disenarai hitam dan pemantauan berterusan akan dilakukan oleh jawatankuasa khas yang dibentuk,” katanya selepas majlis pelancaran Sistem Integrasi Dewan Bedah Definisi Tinggi (OR1), Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM) di sini semalam.

Sementara itu, Guru Besar Sekolah Kebangsaan (SK) Bangsar, Nordin Yaman, berkata anak sihat dikawal ibu bapa atau penjaga yang bijaksana, bukan berpunca daripada minuman dan makanan di kantin sekolah.

“Budaya pemakanan sihat dikawal oleh ibu bapa atau penjaga, malah mereka perlu mengehadkan pemberian wang saku yang banyak kepada murid,” katanya.

Presiden Majlis Permuafakatan Persatuan Ibu Bapa dan Guru Nasional (PIBGN), Prof Madya Datuk Dr Mohamad Ali Hassan, berkata masalah penjualan minuman berkarbonat dan makanan mengandungi gula berlebihan masih wujud tetapi terkawal. 
“Saya mencadangkan satu jawatankuasa ditubuhkan di antara Kementerian Pelajaran, Kementerian Kesihatan, Kerajaan Tempatan, Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) serta pihak sekolah bagi mengadakan pemeriksaan mengejut di kantin dan kawasan luar sekolah,” katanya.

Presiden Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP), Hashim Adnan, berkata mesin minuman berkarbonat hanya terdapat di sekolah besar, manakala makanan jarang mengandungi gula berlebihan.

Tinjauan mendapati pengusaha kantin sekolah didapati tidak menjual minuman berkarbonat dan makanan mengandungi gula berlebihan, walaupun belum menerima surat larangan jualan makanan itu yang berkuat kuasa serta-merta 4 April lalu.

Sebaliknya mendapati banyak air kotak, minuman perisa buah-buahan dan isotonik yang dijual, selain makanan seperti nasi lemak, mi goreng, mihun goreng, kuew tiaw goreng, nasi goreng, laksa dan makanan berlauk.

Walaupun kantin sekolah tidak menjual minuman berkarbonat, terdapat sesetengah pihak swasta yang menyumbang mesin air minuman berkarbonat kepada sekolah tertentu.

Pengusaha kantin Sekolah Kebangsaan (SK) Bangsar, Kamarul Anuar Muhaiyiddin, 32, berkata mesin air minuman berkarbonat perlu dikeluarkan dari kawasan sekolah jika larangan itu mahu diseragamkan. 

1 ulasan:

Zuwairi Aiman berkata...

Salam kunjungan... singgah la ke blog saya ;)

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...